Tuntutan Solat Berjemaah

solat berjemaah

Semakin berat ujian, semakin bertambah keimanan. Itu yang diharapkan. Ternampak pakcik ni semalam. Baru selesai solat berjemaah. Bawa tongkat, dan dipimpin oleh seorang kanak-kanak. Mungkin anaknya. Dari gayanya, pakcik ni buta. Sebak di hati ini.

Solat Berjemaah

Tuntutan berjemaah pada solat 5 waktu yang selain daripada solat fardhu Jumaat, pada pendapat yang masyhur dan paling sohih menurut Imam an-Nawawi adalah tuntutan fardhu kifayah yang diwajibkan bagi orang-orang lelaki yang berakal, baligh, bermukim, mempunyai pakaian menutup aurat dan tidak mempunyai apa-apa keuzuran syarie.

Jadi bererti apabila sesebuah kampung atau mukim mendirikan solat jemaah di tempat yang dikira menzahirkan syiar Islam seperti di masjid atau surau, maka gugurlah dosa atas orang-orang kampung atau mukim yang tidak hadir bersolat jemaah. Tetapi sekiranya tidak didirikan solat jemaah maka semua penduduk kampung atau mukim itu berdosa.

Solat berjemaah sangat dituntut. Imam al-Bukhari dan Muslim pernah meriwayatkan bahawa Rasulullah sollallahu ‘alaihi wa sallam pernah mengancam untuk membakar rumah orang yang meninggalkan solat berjemaah.

Imam Muslim pula meriwayatkan hadith daripada Abu Hurairah r.a:

“Ada seorang lelaki buta telah datang mengadu kepada Nabi s.a.w bahawa dia tidak mempunyai orang yang boleh memimpinnya pergi ke masjid. Oleh itu dia mengharapkan Baginda memberi kelonggaran kepadanya untuk bersolat di rumahnya. Pada mulanya Baginda telah membenarkannya, tetapi kemudiannya Baginda menarik balik kebenaran tadi setelah Baginda mengetahui bahawa si buta tadi dapat mendengar seruan azan solat yang dikumandangkan di masjid.”

Fadhilat solat berjemaah amat besar sekali berbanding dengan solat bersendirian. Antaranya, sabda Nabi sollallahu ‘alaihi wa sallam yang bermaksud:

“Solat berjemaah melebihi solat bersendirian dengan 27 darjat (atau 27 kali ganda).” (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sebenarnya fadhilat solat berjemaah adalah bertali arus, sambung menyambung, mengembang dan membesar. Orang yang bersolat jemaah bukan sahaja mendapat setakat 27 darjat, malah dia akan mendapat banyak fadhilat dan keuntungan sampingan lain lagi semasa dia berulang-alik ke masjid dan semasa dia berada dalam masjid.

والله أعلمُ بالـصـواب

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *