Orang Soleh

orang soleh

Berikut merupakan mutiara kata alim ulamak tentang orang soleh yang dipetik dari kuliah-kuliah yang disampaikan oleh mereka. Semoga pesanan ini menjadi panduan kepada kita dan kita mendapat manfaat darinya.

 

Mutiara Kata Al-Fadhil Ustaz Iqbal Zain Al-Jauhari

Duduklah di dalam majlis yang baik-baik di mana di dalamnya kita boleh melihat dan bersama-sama dengan orang soleh.

Ulama mengatakan pandangan mata orang soleh apabila dia memandang kita ia akan menjadi suatu kesan yang positif di dalam diri kita sehingga yang jahat akan berubah menjadi yang baik.

Daripada yang buruk akan berubah menjadi cantik dan orang yang jahil akan berubah menjadi orang yang berilmu Insya Allah.

 

Mutiara Kata Al-Fadhil Ustaz Ashraf Osman

Apabila kita menyebut nama orang soleh maka rahmat turun mencurah-curah. Orang soleh ini kalau kita duduk dengan dia sahaja walaupun kita tidak mendengar percakapannya tapi hanya melihat wajahnya pun akan mendapat manfaat.

Belum lagi kita mendengar kata-katanya. Apabila kita mendengar percakapannya akan memberi manfaat pada hati kita. Bahkan dengan hanya mendengar kisah kehidupan orang-orang yang soleh itu pun akan mendatangkan manfaat.

Berkata Imam Sufyan Ats-Tsauri ketika mana menyebut nama orang yang soleh itu pun sudah mendatangkan manfaat. Hal ini kerana mereka itu orang-orang yang dekat dan rapat dengan Allah سبحانه وتعالى. Sebaliknya apabila kita duduk bersama dan menyebut nama orang-orang yang jauh dari Allah سبحانه وتعالى maka itu pun akan memberi kesan kepada hati kita.

Kata Imam Abdullah Alwi Al-Haddad, mencintai orang-orang soleh ini adalah sa’adah yakni kebahagiaan dunia dan akhirat.

 

Mutiara Kata Al-Habib Musa Kadzim Ja’afar Muhammad As-Seggaf

Awal darjat kesolehan seseorang itu adalah apabila mereka mencintai orang soleh. Orang yang tidak mencintai orang soleh maka ianya bukan daripada kalangn orang yang soleh.

Apabila seseorang ingin menjadi soleh, dia perlulah mencintai orang yang soleh dan mencintai para sahabat Baginda Nabi ﷺ dan Ahlul Bait Baginda Nabi ﷺ. Inilah merupakan satu sifat orang yang soleh.

Apabila seseorang itu mencintai orang-orang yang soleh, para sahabat Baginda Nabi ﷺ dan Ahlul Bait Baginda Nabi ﷺ , ia akan menjadi penyebab untuk dirinya menjadi orang yang soleh.

Tanda kedua orang soleh adalah apabila mereka sentiasa menyebut dan berdoa kepada kedua ibu bapa mereka. Jika kedua ibu-bapa mereka sudah meninggal dunia, maka pohonlah keampunan kepada mereka. Sekiranya mereka masih hidup, maka berdoalah untuk kebaikan mereka.

Sekiranya kita rajin berdoa kepada kedua ibu-bapa kita, maka kita merupakan orang yang soleh.

Nabi ﷺ menyebutkan di dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim. Daripada Abu Hurairah Radhiyallahu’Anhu katanya Nabi ﷺ bersabda, “Apabila anak Adam(manusia) meninggal dunia maka terputuslah semua(pahala) amal perbuatannya kecuali 3 perkara iaitu:

  1. Sedekah jariah.
  2. Ilmu yang bermanfaat.
  3. Anak soleh yang mendoakan ibu bapanya.

Tidak akan berdoa seseorang anak itu baik lelaki mahupun perempuan kepada kedua ibu-bapanya melainkan ianya adalah merupakan anak yang soleh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *