Keindahan Usrah

usrah

“Usrah hanya untuk orang alim, hanya untuk ustaz, hanya untuk ustazah, hanya untuk mereka yang soleh dan solehah sahaja. Bukan untuk saya yang biasa-biasa ini.” Kata-kata tersebut sering dijadikan alasan oleh mereka yang “biasa-biasa” ini apabila diajak untuk menyertai usrah. Seolah-olah usrah ini satu aktiviti yang hanya sesuai untuk mereka yang alim sahaja. Seolah-olah intipati yang dibincangkan dalam usrah tidak sehaluan atau tidak penting untuk mereka. Padahal, usrah itu sebaliknya. Usrah itu vitamin kepada mereka yang “biasa-biasa”, “luar biasa” dan sesiapa sahaja. Sungguh, jika mereka faham usrah itu sumber kekuatan seorang mukmin, pasti akan mereka turuti.

Usrah

Apa itu usrah? Usrah, dari segi bahasanya berasal dari Bahasa Arab yang bermaksud keluarga. Dari segi istilah, usrah bermaksud perkumpulan kecil (biasanya 5 hingga 8 orang) yang dibentuk atas dasar persaudaraan untuk mendalami ilmu agama dan saling tolong-menolong dalam pelbagai aspek kehidupan.

Setiap manusia, jalan hidupnya sudah tertulis. Masing-masing mempunyai jalan hidup yang berbeza. Ada yang bermula dengan baik, kemudian hanyut. Ada yang hanyut, kemudian kembali ke jalan lurus. Semuanya mengikut ketentuan dan kehendak Allah Ta’ala. Namun, kasih sayang Allah melebihi kemurkaanNya.

“Daripada Abu Musa Abdullah bin Qais al-Ash’ari RA, daripada Nabi sollallahu ‘alaihi wa sallam sabdanya: “Sesungguhnya Allah Ta’ala membentangkan tangan-Nya (sebagai kemurahan-Nya menerima taubat) pada waktu malam untuk menerima taubat orang yang telah melakukan dosa pada waktu siang, dan membentangkan tangannya (kemurahannya untuk menerima taubat) pada waktu siang untuk menerima taubat orang yang melakukan dosa pada waktu malam. Keadaan ini berterusan sehinggalah terbitnya matahari dari sebelah barat.”

(hadis riwayat Muslim).

Sesungguhnya Allah sentiasa memberi peluang kepada hamba-hambaNya untuk bertaubat dan memohon ampun atas segala dosa yang telah dilakukan tanpa menentukan masa dan waktu. Setelah bertaubat nasuha, seseorang itu haruslah mengambil langkah untuk terus berada di laluan yang lurus. Salah satu caranya ialah dengan menyertai usrah.

Pendedahan kepada biah solehah sejak dari zaman sekolah menengah mungkin memudahkan penerimaan saya dan kawan-kawan lain terhadap usrah. Kelebihan sekolah agama berbanding sekolah biasa, suasana atau biah solehah itu wujud, jelas dan pelajar senang dengannya. Semua pelajar wajib menyertai usrah di surau. Mereka dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan kecil dan setiap kumpulan dipimpin oleh seorang naqib/naqibah yang biasanya terdiri daripada pelajar senior.

Setelah tamat sekolah, asas-asas usrah disambung pula di universiti. Bagi mereka yang belum pernah menyertai usrah, seharusnya mereka menghadirkan diri dan istiqomah dengannya. Ini adalah kerana tujuan usrah itu sendiri adalah untuk sama-sama tolong-menolong antara satu sama lain untuk memahami dan menghayati Islam. Bukankah menuntut ilmu itu wajib ke atas setiap individu Muslim.

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ 

(ابن ماجه وغيره)

Dari Anas bin Malik r.a., katanya: Rasulullah sollallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Menuntut ilmu adalah satu fardhu yang wajib atas tiap-tiap seorang Islam.”

(Ibnu Majah dan Lain-lainnya).

Fitrahnya manusia ni pelupa dan selalu lalai. Saya sendiri pernah cuba untuk lari dari kumpulan usrah semasa di universiti. Sebab itu, perlu ada yang mengingatkan. Dalam usrah itu, sama-sama kita mengingatkan dan berpesan-pesan. Untuk meningkatkan ukhwah dan kecintaan Islam. Allah berfirman dalam Surah Al-Asr 103:3 supaya kita sentiasa saling mengingati dan berpesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. Peringatan itu amat perlu dan berguna bagi orang-orang Mukmin.

“Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang mukmin.”

Az-Zariyat 51:55

Keluarga atau usrah ni sunnatullah. Yakni lelaki dan perempuan yang kesudahannya akan berkahwin dan terbentuklah usrah atau keluarga. Usrah ini menjadi asas kepada masyarakat. Usrah terdiri daripada suami sebagai amir(ketua) usrah, isteri dan anak-anaknya. Bertepatan dengan konsep Maratib Amal oleh As-Syahid Imam Hassan Al-Banna. Semuanya bermula dengan pembentukan fardhu Muslim (peribadi/individu Muslim) yang baik melalui usrah dan sebagainya serta bagaimana fardhu Muslim itu menguruskan Baitul Muslim (rumahtangga Muslim) dengan baik.

Matlamat ini tidak mustahil jika kita benar-benar membuat persediaan sebelum melangkah ke alam rumahtangga itu. Alangkah baik dan indah jika suasana rumahtangga itu dihiasi dengan usrah bersama-sama suami, isteri dan anak-anak. Insya Allah.. 🙂

والله أعلمُ بالـصـواب

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *