7 Golongan Yang Mendapat Naungan Allah Di Akhirat

naungan AllahDari Abu Hurairah r.a. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Tujuh golongan, Allah akan menaungi mereka pada hari yang tiada naungan melainkan naungan-Nya: Pertama : Imam (pemimpin) yang adil. Kedua : Pemuda yang membesar dengan beribadah kepada Allah. Ketiga : Insan yang hatinya terpaut dengan masjid. Keempat : Dua insan yang berkasih sayang kerana Allah, mereka bertemu dan berpisah kerana Allah. Kelima : Insan yang diajak (digoda) oleh wanita yang berpangkat dan cantik, lalu ia berkata : ‘Sesungguhnya aku takutkan Allah’. Keenam : Insan yang bersedekah dengan cara yang tersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang di belanjakan oleh tangan kanannya. Ketujuh : Insan yang mengingati Allah secara bersunyian lalu menitiskan air matanya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan daripada hadis di atas , dapatlah kita mengambil pengajaran bahawa terdapat tujuh golongan manusia yang beriman dan bertaqwa yang akan mendapat rahmat dan perlindungan dari Allah SWT di hari akhirat nanti. Golongan tersebut adalah seperti berikut:

Pertama : Imam (pemimpin) yang adil. Seorang pemipin akan ditanya di akhirat nanti adakah mereka memimpin dengan adil, amanah, jujur dan sentiasa berpegang teguh dengan al-Quran dan Sunnah. Maksud adil adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya, tidak boleh dikatakan adil selagi seseorang pemimpin itu tidak menggunakan neraca Islam dan neraca Allah SWT di dalam setiap keputusan dan perlaksanaan di dalam pemerintahannya. Tidak ada undang-undang dan peraturan yang lebih adil melainkan ianya datang dari Pencipta manusia dan alam semesta iaitu Allah SWT.

Kedua : Pemuda yang membesar dengan beribadah kepada Allah. Pemuda adalah golongan penting di dalam masyarakat Islam, kerana merekalah yang akan mewarisi kepimpinan negara akan datang. Sesuatu umat akan menuju kepada kehancuran apabila pemuda-pemudinya telah rosak akidah dan akhlaknya , lemah daya pemikiran dan intelektualnya dan hilang semangat jihad. Pemuda yang menjadi ahli ibadah dan terpilih mendapat naungan Allah ini adalah mereka yang hati dan jiwanya sentiasa mengingati Allah , kuat imannya dan baik akhlaknya dan sentiasa berterusan dan istiqamah dalam menjalani proses tarbiyyah dan dia juga berusaha mengajak pemuda lain untuk duduk dalam jemaah Islam dan melaksanakan amal ma’ruf nahi mungkar.

Ketiga : Insan yang hatinya terpaut dengan masjid. Masjid adalah tempat ibadah , di sinilah tempat umat Islam berkumpul untuk melaksanakan ibadah khusus terutama solat, membaca al-Quran, berzikir, tempat majlis-majlis ilmu dijalankan dan tempat perhimpunan dan perbincangan umat Islam untuk menyelesaikan masalah mereka. Para malaikat mendoakan dan memohon rahmat kepada Allah SWT kepada ahli-ahli masjid yang menunaikan ibadah dan menuntut ilmu di sini. Di zaman Rasulullah SAW, masjid berfungsi sebagai tempat semua urusan umat Islam (pusat pemerintahan, ibadah dan majlis ilmu). Mereka yang terpaut hati dengan masjid dan melaksanakan semua fungsi tadi akan mendapat naungan Allah di akhirat nanti.

Keempat : Dua insan yang berkasih sayang kerana Allah, mereka bertemu dan berpisah kerana Allah. Dua orang saudara Muslim bertemu semata-mata untuk merapatkan ukhwah dan kasih sayang, saling nasihat-menasihati, lengkap-melengkapi dan merancang sesuatu atas tanggungjawab untuk menyelamatkan umat ini daripada hanyut di bawa arus jahiliyah dan terselamat daripada mendapat azab Allah SWT. Mereka berpisah adalah semata-mata kerana Allah disebabkan masing-masing kembali ke tempat asal mereka untuk memenuhi tuntutan dakwah dan tarbiyyah, walaupaun berjauhan namun perasaan ukhwah dan kasih sayang tetap berterusan. Allah SWT akan memberi pahala dan ganjaran yang besar apabila seluruh masa, tenaga dan wang ringgit dicurahkan semata-mata kerana Allah SWT. Atas usaha-usaha yang berterusan seperti ini, bertemu dan berpisah kerana Allah SWT, memang sesuailah mereka mendapat naungan Allah SWT di akhirat nanti. Dalam sebuah Hadis Qudsi yang diriwayatkan di dalam Kitab Al-Muwattha’ Imam Malik, Nabi S.A.W telah bersabda bahawa Allah SWT telah berfirman yang bermaksud: “Kasih-sayangKu lebih utama untuk mereka yang berkasih-sayang pada jalanKu, golongan berhimpun dan berkelompok semata-mata keranaKu, golongan yang saling ziarah-menziarahi keranaKu, dan golongan yang sentiasa berbelanja dijalanKu”

Kelima : Insan yang diajak (digoda) oleh wanita yang berpangkat dan cantik, lalu ia berkata : “Sesungguhnya aku takutkan Allah.” Perbuatan zina adalah satu perbuatan yang keji dan hina. Zina boleh merosakkan keturunan, menimbulkan pergaduhan dan perpecahan dalam keluarga dan masyarakat. Seseorang yang melakukan zina, dan hasil daripada zina ini apabila mendapat anak, ia sanggup membunuh bayi yang tidak berdosa atau pun membuangnya merata tempat tanpa belas kasihan semata-mata untuk menutup malu pada keluarga dan masyarakat. Peribadi seperti ini kedudukannya lebih rendah dari haiwan kerana haiwan pun mempunyai perasaan kasih sayang pada anak-anaknya. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Dan sesiapa yang berzina dengan seorang perempuan, sewaktu berbangkit dari kuburnya kelak, sesungguhnya ia merasa sangat haus.” Oleh kerana betapa besarnya mudharat zina ini, Allah SWT akan memberi ganjaran pahala yang besar dan memberi naungan-Nya di akhirat nanti kepada sesiapa sahaja dikalangan hamba-hamba-Nya yang sanggup menolak ajakan zina oleh perempuan cantik dan berpangkat dengan kata-kata, “Sesungguhnya aku takut kepada Allah.” sepertimana Nabi Yusuf a.s. menolak ajakan isteri pembesar Mesir ketika itu untuk melakukan zina.

Keenam : Insan yang bersedekah dengan cara yang tersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dibelanjakan oleh tangan kanannya. Islam menggalakkan amalan bersedekah dari golongan kaya kepada golongan miskin, supaya jurang perbezaan di antara mereka dapat dikurangkan. Dalam hadis yang lain Nabi SAW ada menyatakan bahawa salah satu golongan yang akan masuk syurga bersama-sama golongan yang mati syahid dan ulama adalah dermawan yang menyumbangkan hartanya di jalan Allah semata-mata mencari keredhaan-Nya sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kanannya. Insan budiman lagi dermawan ini akan mendapat naungan Allah SWT di akhirat kelak.

Ketujuh : Insan yang mengingati Allah secara bersunyian lalu menitiskan air matanya. Doa dan munajat adalah senjata orang mukmin. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang-Ku, sesungguhnya Aku dekat. Aku menyahut doa orang berdoa, tatkala dia berdoa kepada-Ku, justeru sahutlah seruan-Ku.” (Surah al-Baqarah ayat 186). Orang mukmin pada siang harinya dia menjadi ‘singa’, bekerja bersungguh-sungguh dalam semua urusan . Dalam urusan kerjayanya mencari nafkah, dalam urusan dakwah dan tarbiyyah dan dalam urusan membantu masyarakat. Tetapi pada malam hari menjadi abid, membaca al-Quran, berzikir, bersolat tahajjud dan berdoa kepada Allah hingga menitiskan air mata. Dia rasa dirinya kerdil dan terlalu banyak dosa yang dilakukan. Sekiranya tanpa belas kasihan Allah SWT dia merasakan dia tidak dapat menyelamatkan diri dari azab-Nya di hari akhirat nanti.

Sahabat yang dikasihi, marilah sama-sama kita berusaha untuk meningkatkan amal ibadah dan amal soleh kita semata-mata untuk mencari keredhaan Allah SWT. Jalan keselamatan untuk terselamat di hari akhirat telah dinyatakan oleh Rasulullah SAW kepada kita semua iaitu tujuh golongan manusia yang akan mendapat perlindungan Allah SWT. Oleh itu, berusaha dan berdoalah semoga kita menjadi sebahagian daripada golongan tersebut.

Sumber: Facebook Ustaz Abu Basyer

Wallahu ta’ala ‘alam bissowaab.

You may also like...

5 Responses

  1. khaershaa says:

    Assalammualaikum 🙂 … Thanks infonya … mohon share ya …

    Moga kita dan slruh kluarga [ kita ] menjadi insan yang di redhai Allah SWT 🙂

    Amin Ya Allah [ SWT ]

  2. abdullah says:

    Assalamualaikum..terima kasih dengan info ini..
    Mohon share ke fb

  1. 31/08/2014

    […] Fuad Al Muhammadi sewaktu mensyarahkan sebuah Hadith “Takutlah kalian kepada firasat seorang mukmin. Sesungguhnya seorang mukmin dapat melihat dengan cahaya […]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *